IPOH: Jenazah lapan daripada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Lumut akan dibawa ke Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja di Jalan Tambun di sini untuk disembahyangkan.

Semua jenazah akan dibawa sebaik proses bedah siasat dijalankan selesai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang dijangka sekitar jam 2 petang pada Rabu.

Kelapan-lapan jenazah akan disembahyangkan di Surau Salahuddin Al Ayubi di sana disusuli majlis penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi pengebumian.

[LAPOR LANGSUNG] Negara berdukacita, nahas udara TLDM Lumut terburuk libatkan helikopter

Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad akan dikebumikan di Segamat, Johor, manakala Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli dikebumikan di Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502) dan Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) masing-masing dikebumikan di Sitiawan dan Selama, Perak.

Jenazah Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dikebumikan di Senawang, Negeri Sembilan dan Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dikebumikan di Rawang, Selangor.

Anggota wanita, Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat) serta Kuartermaster Udara Skuadron 503, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun dikebumikan di Yan dan Sik, Kedah.

Sementara itu, mendiang Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) akan dibawa ke kediaman keluarganya di Sitiawan manakala mayat Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Serian, Sarawak.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Kesemua jenazah tiba di Jabatan Forensik HRPB Ipoh kira-kira jam 6 petang pada Selasa untuk proses bedah siasat.

Jenazah sebelum itu ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk proses pengecaman ahli keluarga dan waris. - Sinar Harian